Dab merupakan sejenis biawak padang pasir dalam bahasa Arab dikenali sebagai Dab. Dab mempunyai corak badan seperti buaya, bersaiz seperti biawak, tetapi lidahnya berbeza daripada biawak kerana tidak bercabang.
Diriwayatkan oleh Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wa an-Nihayah bahawa al-Baihaqi meneritakan daripada Abu Mansur Ahmad bin Ali ad-Damaghanly dari daerah Namin di Baihaq, mengenai sebuah kisah berikut yang disampaikan oleh Umar al-Khattab r.a:
Rasulullah sedang berjalan bersama-sama dengan sekumpulan para sahabat, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi daripada Bani Sulaim di hadapan Rasulullah S.A.W. Beliau membawa bersama-samanya seekor dab yang ditangkapnya, dan bercadang untuk membakar haiwan itu untuk dimakan.
Melihat ramai yang berjalan, beliau tertarik untuk mendekati dan bertanya siapakah gerangan yang sedang mereka iringi? Apabila diberitahu bahawa mereka sedang mengiringi Nabi SAW, maka dia terus mendekati Nabi lantas berkata, "Demi tuhan Lata dan Uzza, tiadalah sesuatu yang terdapat dalam dunia ini yang lebih ku benci daripadamu wahai Muhammad! Kalaulah tidak kerana kaumku memanggilku dengan panggilan yang tergesa-gesa, tentulah aku sudah
memenggal kepalamu lalu aku dapat menggembirakan hatiku dan hati semua manusia yang berkulit hitam, putih dan merah serta selainnya.
Umar al-Khattab menjadi marah, lalu bangkit dan berkata, "Wahai Nabi! Biarlah saya mengakhiri hidupnya?"
Nabi SAW tenang menjawab permintaan Umar, "Wahai Umar! Tidakkah engkau tahu bahawa orang yang lemah lembut itu hampir diangkat menjadi nabi?"
Nabi kemudiannya berkata kepada Arab Badwi itu, "Apakah yang menyebabkan engkau berkata demikian? Sepatutnya, engkau menghormatiku dalam perhimpunan bersama sahabatku!"
Arab Badwi tersebut tidak mengalah bahkan sebaliknya berkata, "Demi tuhan Lata dan Uzza! Aku takkan beriman kepadamu hai Muhammad hinggalah dab ini beriman kepadamu," katanya sambil mengeluarkan dab itu lalu melemparkannya di hadapan Baginda.
Nabi SAW memanggil dab itu. Kedengaran dab itu menjawab dengan bahasa Arab yang fasih dan difahami oleh semua yang hadir, "Ya, wahai Nabi SAW!"
Nabi bertanya, " Kepada siapakah engkau beriman?"
Jawab dab itu, "Saya beriman kepada Tuhan yang di langit itu Arasy-Nya, di bumi itulah kekuasaan-Nya, dan di lautan itulah jalan-Nya, dan di Syurga itu rahmat-Nya, dan dalam Neraka itu azab-Nya!"
Tanya Nabi lagi, "Siapakah aku wahai dab?"
Jawab si dab, "Tuan adalah utusan Allah, yang memiliki sekalian alam! Amatlah beruntung orang yang mendukung perjuangan tuan, dan binasalah orang yang mendustakan tuan!"
Mendengar kata-kata dab tadi, Arab Badwi itu lantas berkata, "Wahai Muhammad! Sebelum ini engkau merupakan orang yang paling aku benci, tetapi hari ini engkau ialah orang yang paling aku kasihi berbanding dengan bapaku, diriku sendiri, engkau amat kukasihi zahirku dan batinku."
Kemudian beliau mengucapkan kalimah syahadah di hadapan semua yang hadir, "Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi SAW adalah pesuruh-Nya."
Lalu Rasulullah SAW berkata, "Syukur kepada Allah yang telah menganugerahkan hidayah-Nya kepadamu, sesungguhnya Islam ini adalah yang paling tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya, dan tidak diterima tanpa solat, dan solat pula tidak diterima melainkan dengan al-Quran."
Jawabya, "Kalau begitu ajarkanlah saya al-Quran itu, wahai Nabi!" Baginda pun mengajarnya membaca surah al-Ikhlas.
Beliau berkata, "Saya tidak pernah mendengar kata-kata yang lebih hebat daripada ini!"
Nabi menambah, "Ini ialah perkataan Allah, bukannya sajak, jika engkau membaca surah al-Ikhlas ini sekali, ganjarannya di sisi Allah seumpama engkau membaca sepertiga daripada al-Quran. Jika engkau baca dua kali seumpama dua pertiga daripada al-Quran. Sekiranya engkau membaca tiga kali seumpama engkau telah membaca keseluruhan al-Quran."
Jawab Arab itu, "Sebaik-baik Tuhan itu ialah Tuhan kami, Dia menerima daripada kita sedikit tetapi membalasnya dengan banyak!"
Nabi bertanya kepdanya, "Adakah kamu memiliki harta?"
Jawab beliau, "Tiada seorangpun dalam Bani Sulaim yang lebih miskin daripada saya."
Nabi bersabda kepada para sahabat, "Berikan kepadanya apa-apa yang kamu ada!"
Para sahabat menghulurkan bantuan kepadanya hinggakan dia mendapat harta yang amat banyak terkumpul. Kemudia Abdul Rahman Bin 'Auf r.a bangun lantas berkata kepada Nabi SAW, "Wahai rasulullah! Saya memiliki seekor unta yang hamil 10 bulan, yang sederhana besarnya, saya memperolehnya ketika dalam Perang Tabuk, sekarang saya hendak mendekatkan diri kepada Allah SWT. Saya ingin menghadiahkan kepada saudara baharu kita ini!"
Nabi SAW bersabda, "Engkau menceritakan tentang untamu yang engkau telah hadiahkan padanya, sekarang aku akan menceritakan bahagianmu yang diberikan Allah sebagai balasan di Akhirat. Allah SWT yang mengaanugerahkan kepadamu di Akhirat kelak unta yang diperbuat daripada permata hijau, tengkuknya daripada permata kuning, memiliki pelana yang hebat dan unta itu akan melintasi titian sirat dengan pantas seperti kilat, semua orang akan merasa iri kepadamu pada hari Kiamat."
Kata Abdul Rahman, "Saya redha dengannya wahai nabi."
Arab itu pun keluar dari kawasan itu. Sekonyong-konyong datang kaumnya daripada Bani Sulaim seramai seribu orang menaiki seribu ekor unta membawa bersama-sama mereka seribu pedang dan lembing.
Dia bertanya, "ke manakah haluan kamu?" Mereka menjawab, "Kami ingin memerangi orang yang menghina tuhan kita!" Arab Badwi itu berkata kepada kaumnya, "Jangan! Aku sendiri telah beriman dengannya!"
Dia juga telah menceritakan peristiwa dab itu dan menyebabkan seluruh kaumnya beriman kepada Allah dan Rasulullah.
Sekian, Wallahu'alam

No comments:
Post a Comment